Artikel ini ditulis oleh Puan Noraswana Selamat.
Pelajar Latihan Industri Teman Malaysia.
Di Malaysia golongan warga emas ditakrifkan sebagai seseorang yang berumur 60 tahun dan ke atas.
Takrifan ini berpandukan kepada takrifan yang dibuat di “World Assembly On Ageing 1982” di Vienna.
Manakala penuaan aktif pula didefinisikan sebagai proses mengoptimumkan peluang dan penglibatan warga emas dalam keluarga dan masyarakat ke arah mendayaupayakan warga emas untuk meningkatkan kesejahteraan hidup.
Dengan kata lain, penuaan aktif membolehkan warga emas melakukan sebarang aktiviti samada secara sendirian, bersama ahli keluarga atau masyarakat untuk kesejahteraan hidup mereka.
Malaysia dijangka akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15% daripada jumlah penduduk.
Ini bermakna Malaysia akan menjadi negara tua menjelang Rancangan Malaysia ke-14.
Ketika itu, populasi negara dijangka mencapai 38.1 juta orang yang mana 5.8 juta daripadanya merupakan warga emas.
Menjaga kesihatan di usia sebegini amat penting bagi memastikan warga emas sentiasa kekal sihat dan aktif.
Ada yang mengaitkan penuaan berkaitrapat dengan sifat lemah dan juga limitasi.
Namun, ia tidak seperti itu kerana warga emas masih lagi boleh menjalani kehidupan dengan gembira sekiranya kesihatan diri mereka diutamakan.
Berikut merupakan tips agar warga emas terus sihat dan aktif iaitu :-
- Merancang penggunaan masa di hari tua.
Mereka boleh merancang dan membahagikan masa untuk melakukan perkara berikut:– Masa untuk melakukan kerja rumah
– Masa rehat/tidur
– Masa beriadah/melakukan hobi
– Masa untuk beribadah
– Masa untuk berkhidmat kepada keluarga & masyarakat - Melibatkan diri dengan menyertai aktiviti keluarga dan komuniti.
Adalah lebih baik jika warga emas yang mempunyai pengalaman atau kemahiran tertentu untuk menyumbangkan ilmu tersebut kepada ahli keluarga dan masyarakat.Pada masa tersebut kepuasan diri juga akan meningkat dan rasa “diri masih berguna” dan “dihargai” serta “diperlukan” oleh masyarakat sekeliling.
Jika dilihat pada masa kini, banyak golongan warga emas terutama mereka yang telah bersara banyak menyandang jawatan sebagai iman, bilal dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Ini kerana kebanyakan mereka yang bersara mempunyai pengalaman dan ilmu yang sangat berharga dan sekali gus membantu komuniti untuk terus menyumbang kepada negara.
- Lebih terbuka mengenai kesihatan mental dan emosi.
Menurut World Health Organization (WHO), kesihatan mental adalah keupayaan untuk mengira potensi diri, boleh menangani tekanan dalam kehidupan seharian, dan boleh bekerja secara produktif untuk memberi manfaat kepada komuniti.Kemurungan dan keadaan mental terjejas dapat dilihat pada warga emas yang tinggal bersendirian, berada di rumah jagaan atau dimasukkan ke hospital.
Sebilangan besar warga emas ini mengalami penyakit mental kerana kesunyian dan ketakutan mereka terhadap penuaan.
Untuk mengatasi keadaan ini, warga tua memerlukan bimbingan, dan sokongan daripada individu yang mereka sayangi agar mereka pulih dan lebih terbuka mengenai keadaan mental dan emosi.
Warga tua juga mesti mempertimbangkan untuk mengambil terapi kaunseling dan perbincangan dengan kumpulan profesional.
- Mencipta hobi yang boleh mengisi masa lapang dan membahagiakan.
Sebahagian besar hidup warga emas adalah bekerja untuk keluarga sama ada membesarkan anak-anak atau bekerja mencari sumber pendapatan bagi memenuhi keperluan dan kehendak keluarga.Sekarang adalah masa yang tepat untuk melakukan hobi yang pernah ditinggalkan semasa muda.
Ada diantara warga emas yang dilihat seperti “berbulan madu” dengan pasangan masing-masing diusia tua dengan melancong atau melakukan aktiviti-aktiviti bersama-sama.
Banyak masa yang boleh digunakan sekarang untuk melakukan apa yang digemari.
Tetapi, pastikan bahawa kesihatan harus berada dalam keadaan yang baik untuk meneruskan hobi ini, terutamanya jika ia melibatkan aktiviti fizikal.
- Meningkatkan ingatan dan kognisi.
Warga emas juga terdedah kepada masalah ingatan dan kognisi.Itulah sebabnya mereka sangat digalakkan untuk melakukan latihan otak yang dapat memperbaharui semula ingatan dan pemahaman mereka.
Selain aktiviti biasa seperti melakukan teka-teki, teka-teki silang, dan bermain catur, warga emas juga dapat meneroka bidang baharu seperti muzik, bahasa, dan teknologi.
Melakukan aktiviti baharu ini bukan sahaja meningkatkan ingatan dan kognisi mereka, tetapi juga kesihatan otak mereka secara keseluruhan.
Dapat dikatakan bahawa proses penuaan merupakan suatu proses yang normal dalam perkembangan psikologi dan dijangkakan.
Namun, ini tidak bermakna semakin meningkat usia seseorang itu, maka semakin kerap dihinggapi penyakit.
Menua secara sihat melalui perspektif yang lebih positif menjadikan warga emas dapat mengekalkan kehormatan dan martabat diri sekaligus menjadikan warga emas lebih aktif dan produktif sepanjang hayat
Sumber Rujukan :
1. Portal Kementerian Kesihatan Malaysia : https://www.moh.gov.my
2. Portal Jabatan Kebajikan Masyarakat : https://www.jkm.gov.my
3. Portal hellodoktor : https://hellodoktor.com