Sesetengah manusia mempunyai kemampuan daya ingatan yang tinggi secara semula jadi. Jika anda bukan tergolong dari mereka yang mempunyai kemampuan ini, jangan risau!
Potensi untuk anda mempunyai daya ingatan yang kuat adalah sangat tinggi dari apa yang anda sangka.
Sebenarnya, tidak mustahil untuk anda meningkatkan daya ingatan ke tahap yang lebih baik dengan mengikuti beberapa tip dan panduan yang saya kongsikan.
Kebanyakannya adalah mudah, cuma kita sahaja yang terlepas pandang. Cubalah!
1. Kurangkan Tekanan Fikiran (Stress)
Saya dapat rumuskan terdapat 8 aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan, ianya adalah:
- Bersenam.
- Melakukan aktiviti yang boleh memberikan anda senyuman seperti bersiar-siar, berbual bersama orang lain dan sebagainya.
- Mendedahkan kulit dibawah cahaya matahari pada awal pagi atau lewat petang.
- Makan coklat (kuantiti sederhana).
- Makan makanan yang mempunyai sumber tryptophan.
- Bermain bersama haiwan peliharaan.
- Memeluk atau mencium orang yang anda cintai.
- Meditasi atau bertafakur.
Fikiran yang tenang adalah lebih baik daripada fikiran bercelaru dengan perkara yang negatif.
2. Gunakan kaedah mnemonic.
Mnemonic merupakan satu kaedah yang biasa kita gunakan.
Sebagai contoh, ada diantara kita menggunakan kaedah mnemonic untuk mengingati jumlah hari dari setiap bulan.
Contoh yang lain adalah untuk mengingati warna Pelangi, kita boleh gunakan kaedah mnemonic ini:
- Micheal = Merah
- Jackson = Jingga
- Kena = Kuning
- Hantar = Hijau
- Balik = Biru
- India = Indigo
- Utara = Ungu
Banyak lagi yang kita boleh lakukan dengan menggunakan kaedah ini.
Bukan sahaja membuatkan kita lebih mudah untuk mengingati sesuatu perkara, tetapi juga lebih seronok untuk mencipta kaedah mnemonic kita sendiri.
3. Membaca dengan kuat
Jika anda mahu mengingati senarai barang-barang, baca senarai itu dengan kuat.
Jika anda perlu ingat nota penting dari buku? baca buku / nota itu dengan kuat.
Membaca secara senyap memberikan satu hala pendedahan sahaja kepada otak anda. Tetapi jika anda membaca dengan kuat, otak anda akan memproses 3 benda:
- Melalui Pembacaan
- Melalui Pertuturan
- Melalui Pendengaran
Ini menjadikan anda lebih mudah untuk mengingati sesuatu perkara.
4. Pengulangan Kata / Ayat
Melakukan sesuatu dengan berulang adalah kunci untuk mengingati sesuatu.
Membaca satu muka surat kamus dwi-bahasa sekali lalu tidak sama keberkesanannya jika membaca muka surat yang sama sebanyak 10 kali.
5. Menggambarkan Objek
Menghafal sesuatu perkataan seperti “basikal” adalah lebih mudah jika anda menggambarkan basikal.
Ianya adalah lebih baik jika anda menggambarkan perkataan “basikal” tersebut dengan sebuah basikal yang cantik dan mahal.
6. Berlatih Secara Kerap
Paksa diri anda untuk menghafal sesuatu setiap hari. Boleh jadi mengingati senarai barang basah, perkataan di papan tanda, atau sesuatu objek di gambar.
Latih diri anda, tingkatkan kemampuan anda untuk menghafal. Latihan setiap hari akan mempercepat peningkatan tahap ingatan anda.
7. Jadual Berkala
Adalah lebih baik, untuk anda menyusun jadual untuk belajar. Belajar dalam masa 5 minit beberapa kali sehari adalah lebih efektif daripada anda belajar sekali sahaja dalam waktu yang lama.
8. Dapatkan Tidur Yang Cukup
Otak kita perlu memproses dan menyusun maklumat yang baru. Adalah sangat penting untuk anda berehat dan mendapatkan tidur yang cukup.
Daya ingatan pasti akan berada pada tahap yang tinggi.
Berapa jam baru cukup tidur?
Kebanyakan pakar memberi cadangan 7-9 jam tidur sehari adalah baik untuk orang dewasa.
Buat kajian sendiri dan lihat berapa jam yang anda perlukan.
9. Melatih Otak
Semakin kita berusia, kita sering kali kurang melakukan aktiviti yang boleh meransang minda kita.
Otak kita perlu di latih.
Baca sesuatu yang mencabar, bermain chess, buat “crossword puzzles”, kira dari 1000 ke bawah dengan selingan 3 nombor.
1000…997…994…991…989…..
10. Lakukan Aktiviti Sukan
Selain boleh mengurangkan stress, anda akan rasa berbeza dari segi emosi dan intelektual setelah bersenam.
Ini kerana, setiap organ dan tubuh badan anda akan mendapat manfaat, termasuklah otak anda.
11. Menulis
Perkara yang anda tulis di atas kertas adalah lebih mudah untuk diingati. Jika anda mahu menghafal sesuatu, tulis di atas kertas berulang-kali.
12. Makan Buah Beri
Kajian telah menunjukkan, buah beri adalah sangat baik untuk menajamkan fikiran dan memelihara ingatan.
Ini merupakan tips yang mudah dan sedap.
Kesimpulannya
Kebolehan untuk mengingati sesuatu akan semakin kurang seiring usia kita.
Tetapi setiap orang berpeluang untuk mempunyai daya ingatan yang lebih baik dari tahap sekarang
Seperti perkara lain, daya ingatan akan meningkat lebih baik jika anda melatihnya setiap masa.
Selepas ini jika anda ingin berbelanja dipasaraya atau kedai runcit, tulis satu senarai barang-barang yang ingin dibeli, dan simpan di dalam poket seluar atau baju.
Semasa berbelanja, ambil barang-barang yang anda ingat.
Sebelum membayar, semak semula senarai barang-barang tadi. Adakah semuanya lengkap?
Sesuaikan juga dengan aktiviti lain. Supaya dapat melatih otak kita.